Kapasiti penggunaan katil hospital di Lembah Klang sudah melebihi 85 peratus

0
32
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kadar penggunaan katil-katil pesakit di hospital-hospital di Lembah Klang kini sudah melebihi 85 peratus.

Kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, jumlah kadar itu termasuk dengan penggunaan katil yang diubah suai (repurpose bed).

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan beberapa langkah afirmatif segera,” Kata Dr. Adham, hari ini.

Antara langkah yang diambil termasuk meluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima lebih ramai pesakit pandemik itu.

Selain itu, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), akan ditingkatkan bagi menerima serta merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

“Turut dilaksanakan ialah memberi penugasan semula sementara kepada petugas kesihatan merangkumi pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu, bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Menerusi langkah-langkah afirmatif ini, KKM berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19 dapat dikurangkan dari semasa ke semasa, serta negara dapat segera mencapai pemulihan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit kategori satu dan dua.

Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima 60 hingga 70 pesakit Covid-19 sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan selain perlu dirawat di ICU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here