
KUALA LUMPUR- Soal kebajikan, sosial ekonomi dan bantuan kewangan menjadi topik utama pada hari keempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan penerangan mengenai pakej bantuan ekonomi dilancarkan kerajaan sejak Covid-19 melanda negara.
Sehingga kini, dilaporkan kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk yang terbaharu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Selain PEMULIH, pakej lain ialah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan.
Selain itu, inisiatif lain ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).