
KUALA LUMPUR – Kebanyakan negeri dijangka akan beralih ke Fasa 4 iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Oktober depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia berdasarkan usaha berterusan kerajaan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi.
“Selain memantau secara rapi keadaan di setiap negeri dari semasa ke semasa dan mengambil langkah intervensi mengikut keperluan, kerajaan juga akan tetap melaksanakan penilaian risiko dari segi kesediaan negeri-negeri untuk beralih ke fasa seterusnya.
“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama.
“Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga, tidak akan patah balik ke fasa kedua.
“Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back (strategi keluar dan tidak berpatah balik),” katanya ketika memberi penerangan mengenai PPN pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini,
Sejak diumumkan pada 15 Jun lalu, lapan negeri sudah beralih ke Fasa 2 iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sekiranya berlaku semula peningkatan kes di negeri-negeri berkenaan, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah seperti yang dilaksanakan kini.
Menjelas lanjut, Perdana Menteri berkata peralihan fasa ke fasa ini membabitkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur dan ia tidak mengikut jadual masa, sebaliknya berlandaskan pencapaian dalam mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.