Keberkesanan vaksin Sinovac dan Pfizer adalah sama

0
178
Vaksin Sinovac

CYBERJAYA – Keberkesanan vaksin Sinovac dalam melawan virus Covid-19 adalah sama seperti vaksin Pfizer.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan data perubatan tidak banyak perbezaan ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan secara praktikal.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui data perubatan mengenai pengalaman Chile menggunakan Sinovac yang diterbitkan dalam laporan ‘New England Journal of Medicine’ 7 Julai lalu.

“Kedua-duanya sangat efektif dalam mengelakkan penyakit teruk Covid-19 dan sehingga dimasukkan ke hospital namun kurang berkesan menentang kesan ringan atau yang tidak mempunyai gejala,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Beliau berkata, laporan itu melihat kepada seramai 4.2 juta penduduk lengkap divaksin berbanding 5.5 juga tidak divaksin bagi tempoh Februari hingga Mei lalu.

“Sinovac didapati mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

“Selain itu ia mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Israel juga menunjukkan vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus terhadap Covisld-19.

Selain itu, katanya, vaksin Pfizer pula menunjukkan 93 peratus berkesan terhadap simptom yang menyebabkan kemasukan ke hospital dan gejala serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here