
CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendesak kerajaan negeri Pahang supaya menggempur secara habis-habisan pihak yang terlibat dalam pencerobohan hutan simpan di negeri itu termasuk kumpulan kartel dan pihak yang bersuhabat.
Naib Pengerusinya, Masridzi Sat berkata, selain penguatkuasaan secara tegas dan konsisten, kerajaan negeri juga perlu memperluaskan operasi membanteras pencerobohan ke semua daerah negeri itu.
Beliau berkata, aktiviti pencerobohan yang didedahkan sejak sekian lama itu tidak mungkin berlaku tanpa ada individu yang menjadi dalang di sebaliknya.
“Takkan mereka berani ceroboh saja-saja dengan jumlah yang begitu banyak, luas dan besar, kalau tiada yang menjadi payung kartelnya.
“Rakyat masih tak faham setelah begitu banyak dan begitu lama tanah kerajaan diceroboh, belum ada lagi kepala kartel, jerung besar yang ditangkap atau didakwa di mahkamah. Hanya kedengaran yang ‘bilis-bilis’ sahaja didakwa ke mahkamah.
“Apakah rahsia yang tersembunyi di sebaliknya? Kita harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Hutan Daerah dapat memberikan jawapan,” katanya memetik laporan Ismaweb.net, hari ini.
Justeru Masridzi menyeru gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negara ini mengukuhkan solidariti dalam menyokong usaha itu serta membantu dalam pelbagai cara.
“Ini supaya usaha kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Perhutanan serta pelbagai pihak yang terlibat benar-benar berjaya membebaskan tanah-tanah yang diceroboh di seluruh negeri Pahang yang masih banyak tiada tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta penceroboh haram termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang hadir mempertahan pekebun durian haram semasa Oerasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, kelmarin akur dengan arahan pihak berkuasa.
Tegasnya, tanah tersebut adalah milik kerajaan negeri dan jabatan perhutanan yang telah diceroboh secara haram sehingga membolehkan penceroboh mengaut hasil yang banyak dan merugikan pihak kerajaan sebelum ini.
“Perbuatan memaki ‘ala samseng’ kepada penjawat awam yang bertugas di atas tanah kerajaan yang diceroboh adalah perbuatan jenayah.
“Terima kasih kepada PDRM dan penguat kuasa Jabatan Perhutanan yang bertindak dengan tegas menahan dan mendakwa mereka ini,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya ditubuhkan Suruhanjaya bebas (RCI) untuk memantau operasi bersepadu ini secara lebih telus dan integriti.
Hal itu seperti yang terkandung dalam memorandum yang dihantar Pembela bersama Persatuan Veteran ATM kepada Tengku Mahkota Pahang dan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
“Diharap juga tanah-tanah yang telah dirampas dari penceroboh diberi kepada rakyat pribumi, veteran ATM, PDRM, NGO Islam, badan-badan usahawan atau koperasi milik kaum pribumi Melayu Islam yang telah banyak menabur jasa kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.