Kebun durian haram: Operasi berjalan lancar dengan pemantauan PGA

0
1424
Anggota PGA melakukan pemantauan di kebun durian haram di Hutan Simpan Batu Talam

RAUB – Operasi memusnahkan kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di dalam Hutan Simpan Batu Talam berjalan lancar dengan pemantauan Pasukan Gerakan AM (PGA).

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, semua operasi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi melampau daripada pekebun.

Nor Azirim berkata, pada hari ini juga terdapat pertambahan anggota PGA Briged Tenggara untuk mengawal keselamatan petugas dan mereka turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR).

“Anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam dilaluan utama masuk ke kawasan kebun durian terbabit. Kawalan juga membabitkan jambatan simen yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap operasi musnah kali ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. Hari ini kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP dari beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah.

“Tambahan itu menjadikan kira-kira 65 kakitangan terlibat yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) turut dapat melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian.

Nor Azirim berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here