Kebun Musang King haram di hutan simpan Raub digempur

0
1345
Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub yang bermula kelmarin.

RAUB – Empat individu termasuk 2 pekerja warga asing ditahan pihak berkuasa dalam operasi memusnahkan kebun durian Musang King haram di Hutan Simpan Batu Talam, dekat sini yang bermula kelmarin.

Operasi bermula pada pukul 9.30 pagi itu melibatkan kawasan kebun durian seluas 101 hektar yang dipercayai diusahakan secara haram sejak 10 tahun lalu di atas tanah kerajaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Mohd, Hizamri Mohd. Yasin berkata, 4 individu berkenaan ditahan kerana menceroboh hutan simpan di bawah Akta Perhutanan 1984 dan dibawa ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut disita dalam operasi yang akan diteruskan sehingga 2 Ogos di kawasan hutan simpan itu adalah sebuah motosikal, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah Land Rover.

“Penugasan operasi tertumpu kepada rondaan dan tangkapan bagi individu-individu yang memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.

“Anggota penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melaksanakan tugasan rondaan dan tangkapan manakala anggota selebihnya menjalankan kerja penandaan zon kawasan tebangan bermula hari ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Barang-barang milik pekebun yang disita dalam operasi.

Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam itu diserta 23 anggota polis, Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Hutan Daerah Raub dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang hadir bersama beberapa pekebun ke kawasan berkenaan mendakwa pekebun telah mendapat kebenaran mahkamah sebelum ini untuk masuk ke kebun berkenaan.

Katanya, kira-kira 20 pekebun yang mengusahakan kawasan berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu mengalami kerugian apabila buah durian Musang King yang baru luruh tidak dapat dikutip.

Video operasi memusnahkan kebun durian di kawasan itu yang tular semalam memaparkan beberapa individu dipercayai di pihak pekebun cuba menghalang kerja-kerja menanda dan menebang pokok durian.

Chow Yu Hui (kiri) dalam tangkap layar video semasa Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here