Keputusan MKT dibuat secara musyawarah, bukan ikut telunjuk Presiden – Zahid Hamidi

0
191
AHMAD ZAHID HAMIDI

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan keputusan yang diambil oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu keputusan yang dibuat secara musyawarah dan bukan secara sendirian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan rakyat dan negara.

“MKT UMNO telah memutuskan apa yang difikirkan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara, malam tadi. Beginilah keindahan UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara. Sebuah parti demokratik berusia 75 tahun.

“Segalanya diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana. Berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara. Maka tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon Presiden UMNO buat keputusan sendiri untuk parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, keputusan yang diambil itu juga membuktikan UMNO bukan sebuah parti yang boleh berkompromi apabila melibatkan kepentingan rakyat serta negara.

Malah, katanya, parti itu juga akan terus mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.

“Terbukti UMNO mendengar suara hati akar umbi parti dan memenuhi mandat mereka pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Ternyata UMNO parti yang akan terus berpegang dan memperjuangkan prinsip demokrasi berparlimen. UMNO akan terus bersama rakyat walau apa cabaran dan rintangan. Demi Malaysia tercinta,” ujarnya.

Dalam satu sidang akhbar awal pagi tadi selepas berakhirnya mesyuarat MKT, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa UMNO menarik semula sokongan kepada Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ini selepas kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti akibat penarikan sokongan daripada UMNO yang mempunyai sebanyak 38 ahli Parlimen.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here