Kerajaan Pahang tawar kediaman kepada 8 beradik yatim mangsa Covid-19

0
167
Wan Rosdy Wan Ismail

CYBERJAYA – Nasib lapan adik beradik yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 di Rawang, Selangor akhirnya terbela apabila kerajaan negeri Pahang mengumumkan tawaran sebuah Rumah Rakyat Pahang )RRP) untuk didiami secara percuma.

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, unit kediaman berharga RM 65,000 itu dicadangkan di kampung asal arwah ibu keluarga mangsa iaitu di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sementara menunggu rumah itu siap, perbelanjaan sewa rumah yang diperlukan oleh ibu saudara yang menjaga adik beradik berusia 4 hingga 18 tahun itu akan dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.

“Selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.

“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Nazurah Nabilah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri Yaakob ketika berkunjung ke rumah sewa keluarga mangsa bersama ibu saudaranya di Rawang, baru-baru ini- Foto- Utusan.

Lapan beradik berkenaan menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan bapa, Benjayeed Bernie, 45, diikuti ibu, Noraini Ibrahim, 43, beberapa hari kemudian pada minggu lalu.

Pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada adik-beradik berkenaan termasuk bantuan dari Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau yang juga Menteri Pertahanan juga bersetuju bahawa Boustead Holdings selaku anak syarikat Kementerian Pertahanan akan mengambil semua adik-beradik Nazurah sebagai anak angkat.

“Boustead akan tanggung pendidikan mereka sehingga umur 18 tahun, apa-apa keperluan akan ditanggung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here