
CYBERJAYA – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum tumbang kerana tiada asas atau fakta yang menunjukkan beliau hilang kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Kata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berikutan itu, Muhyiddin dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.
“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” kata Peguam Negara dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Peguam Negara itu merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi.
Menurut Peguam Negara, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.