Kerajaan sasar 100 peratus populasi dewasa negara terima 2 dos lengkap vaksin Oktober ini

0
60

CYBERJAYA – Kerajaan akan mempercepatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai sasaran 100 peratus populasi dewasa negara menerima 2 dos lengkap vaksin pada Oktober.

Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, sasaran kini adalah 500,000 pemberian dos suntikan sehari.

“Kini, dengan penemuan varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas dan kes-kes positif meningkat dengan mendadak, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi,” kata Muhyiddin dalam satu paparan di Facebook beliau.

Beliau menambah, di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti, 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos 2021 ini, manakala di Sarawak, angka yang sama disasarkan dicapai menjelang akhir Ogos.

Berikutan itu, beliau berkata, semua negeri dijangka mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir bulan Ogos ini dan 70 peratus menjelang September depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menjelaskan bahawa kerajaan telah menempah 76.1 juta dos vaksin bagi PICK.

Daripada jumlah itu, 70 peratus daripadanya merupakan vaksin keluaran Pfizer, Sinovac (23.4 peratus), AstraZeneca (10 peratus), CanSino (10.9 peratus) dan menerusi fasiliti COVAX (10 peratus).

“Setakat ini kita telah terima 20 juta dos daripada keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.

“Malaysia dijangka menerima 10 juta dos vaksin pada akhir bulan Julai, Ogos (10 juta), September (13 juta) dan Oktober (lima juta).

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan 58 juta dos bakal diberikan kepada rakyat Malaysia dalam program PICK.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here