Kerajaan setuju lupus pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion

0
143
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan secara dasar bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelupusan itu dilakukan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal yang telah berkorban untuk kejayaan program rancangan pembangunan tanah Felda.

Katanya, pelupusan bersyarat itu merangkumi empat jenis pinjaman iaitu pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8 bilion yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka, meliputi 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 peneroka.

Selain itu, pelarasan turut dilakukan untuk sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka (46 peratus peneroka); sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Berhad sehingga 7 Julai 2021 bernilai RM78 juta melibatkan 38,043 peneroka (34 peratus peneroka) serta sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juta melibatkan 6,711 peneroka (enam peratus peneroka).

“Dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah, iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan secara prarakaman dalam sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Pelupusan bersyarat itu merangkumi empat perkara:

i) Pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8.0 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82% dari keseluruhan 112,638 warga peneroka);

ii) Pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46% warga peneroka);

iii) Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34% warga peneroka); dan

iv) Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6% warga peneroka).

Menerusi tema ‘Anjakan Minda Peneroka’, Muhyiddin berharap menerusi usaha itu, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka.

“Ini sekaligus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan.

“Saya amat berharap dengan perjanjian baharu yang akan ditandatangani oleh peneroka dengan Felda di bawah inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat ini, warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui kelak agar dapat sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti, seterusnya menjamin kelestarian Felda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here