
CYBERJAYA – Semua kerja pembinaan di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dihentikan dan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diterima sebelum ini tidak boleh digunakan untuk meneruskan kerja pembinaan sepanjang PKPD.
“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian yang bersifat kritikal namun menggunakan kaedah janji temu,” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadillah, bagi menjalankan kerja yang bersifat kritikal itu, pihak yang terlibat boleh mendapatkan kebenaran daripada balai polis terdekat.
Selain itu katanya, pihak kementerian turut menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi arahan semasa serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Maklumat lanjut berkenaan SOP dan garis panduan industri pembinaan boleh didapati menerusi Telegram rasmi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau hubungi CIDB Careline di talian 03-5567 3300.