
KUALA LUMPUR – Kes harian Covid-19 di negara ini dijangka mula stabil dengan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu dari sekarang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ramalan itu berdasarkan program vaksinasi yang sedang rancak dijalankan serta kawalan pergerakan yang masih berkuat kuasa.
Katanya, kesemua usaha dan faktor tersebut akan menyumbang kepada penurunan kes sekaligus melandaikan semula keluk jangkitan wabak.
Dalam pada itu katanya, peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa hari lalu adalah daripada saringan bersasar yang dilaksanakan khususnya di Lembah Klang.
“KKM sudah jangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.
“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bagaimanapun Dr. Noor Hisham menggesa supaya kerajaan mengambil iktibar daripada gelombang kedua Covid-19 dengan tidak tergesa-gesa membuka sektor yang boleh mencetuskan penularan.
Katanya juga, pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.
Semalam (10 Julai), Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes baharu dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja.
Sementara itu, kadar vaksinaasi negara sejak 4 hari lalu melepasi sasaran 300,000 suntikan dos sehari.