
CYBERJAYA – Kerajaan menjangkakan kes harian Covid-19 boleh turun ke bawah angka 1,000 kes menjelang Oktober ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu dapat dicapai jika program vaksinasi yang sedang berjalan sekarang bergerak dengan lancar seperti dirancang.
“Kita sekarang menggunakan beberapa jenis vaksin yang mempunyai tahap keberkesanan berbeza. Secara purata keberkesanan vaksin dianggap purata 75 peratus.
“Kalau unjuran keberkesanan adalah 80 peratus dan laksanakan 150,000 dos kedua vaksin sehari, kita jangkakan pada bulan Oktober kes akan turun bawah 1,000,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, Labuan menjadi contoh terbaik kawalan jangkitan dengan pemberian vaksin kepada penduduknya sehingga kes turun ke angka 26 hari ini berbanding lebih 1,300 kes beberapa minggu lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, angka jangkitan harian diunjurkan sudahpun mencecah 13,000 kes pada 14 Jun lalu jika langkah ketat termasuk total lockdown dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan.
Dr Noor Hisham berkata, walaupun PKP bukan penyelesaian sepenuhnya namun ia memberi ruang dan masa untuk kementeriannya mengurus pertambahan katil dan ubat-ubatan di hospital.-MT