Aminuddin Harun.
SEREMBAN – Saringan secara bersasar melibatkan pekerja kilang terutama dalam sektor pembuatan dan perindustrian menjadi punca peningkatan ketara kes harian Covid-19 di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata,selain kelompok itu, ujian saringan juga bertambah dalam kalangan individu yang dikesan menjadi kontak rapat dan bergejala.
Aminuddin berkata, ujian saringan tersebut dilakukan sebagai langkah pengesanan dan pencegahan penularan wabak Covid-19 yang didapati semakin meningkat di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, kilang-kilang yang didapati berlaku jangkitan Covid-19 walaupun hanya satu kes hendaklah ditutup selama 14 hari.
“Tindakan lanjut yang perlu dilakukan kilang berkenaan adalah melakukan sanitasi penuh, saringan PCR kepada semua pekerja dan seterusnya memastikan pematuhan SOP diperketatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pengoperasian sektor perniagaan di negeri itu, beliau berkata keputusan untuk membuka atau menutup premis terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun Pihak Berkuasa Tempatan tetap berkuasa untuk menutup sesuatu premis jika berlaku perlanggaran peraturan.
“Beberapa fakta penting perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa kilang-kilang yang diberi kebenaran operasi oleh MITI, adalah kilang-kilang yang sah di sisi undang-undang, serta bukan kilang haram dan sebagainya. Kilang-kilang ini juga mempunyai lesen PBT yang masih sah tempoh,” katanya.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada seluruh agensi yang terlibat dalam memastikan pematuhan terhadap prosedut operasi standard (SOP) sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.
“Kerajaan Negeri mendesak untuk melaksanakan SOP yang lebih ketat bagi Negeri Sembilan dalam hal membabitkan kilang, kerana ia di bawah bidang kuasa MKN.
“Jika bidang kuasa PBT boleh digunakan bagi menghentikan operasi sementara kilang-kilang, sudah tentu Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas bagi menutup sementara kilang-kilang berkenaan.
“Bagi kita nyawa rakyat lebih penting untuk dijaga dan dipelihara. Pada masa sama mekanisme tertentu akan dikenalpasti bagi membantu industri dapat beroperasi semula selepas keadaan terkawal,” katanya.