Ketua balai polis terlibat dalam pesta liar didapati positif ganja

0
378
Polis

CYBERJAYA – Seorang ketua balai polis yang ditahan kerana terlibat dalam pesta liar bersama bersama anggota dan empat wanita orang awam di dalam sebuah balai polis di daerah Kajang, didapati positif ganja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pegawai berpangkat Sub Inspektor itu didapati positif menerusi ujian air kencing awal dijalankan.

“Sampel air kencing juga akan diuji sekali lagi dan jika ternyata positif juga, dia akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang. Mereka juga ditahan tugas,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Kelmarin, seorang ketua blai polis bersama tiga anggotanya di daerah Kajang serta empat wanita orang awam ditahan JIPS ketika mereka berhibur dalam bilik khas di balai polis berkenaan.

Azri berkata, Polis Daerah Kajang akan menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan unsur jenayah membabitkan empat anggota polis dan empat orang awam.

“JIPS akan menyiasat keempat-empat polis terbabit kerana salah laku dan pelanggaran peraturan penjawat awam. Tindakan akan diambil tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap anggota polis atau pegawai yang terbabit melakukan kesalahan atau jenayah.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Mereka yang melakukan kesalahan ini hanyalah kumpulan kecil.

“Mereka tidak akan dilindungi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here