KKM bakal perkenal CAC secara maya untuk pesakit kategori ringan

0
38
Kira-kira 4,000 orang yang disahkan positif Covid-19 membanjiri CAC Shah Alam baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Pengurusan pesakit Covid-19 dalam kategori bergejala ringan atau tidak bergejala di negara ini bakal dipermudahkan dengan pelancaran Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Melalui cara itu, orang ramai tidak lagi perlu hadir ke CAC secara fizikal sekaligus mengelakkan kesesakan di CAC sedia ada.

Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong berkata, individu yang disahkan positif dengan gejala ringan atau tidak bergejala akan dipantau secara maya menggunakan aplikasi MySejahtera dari kediaman masing-masing.

“Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain aplikasi dan ia adalah sah dari segi undang-undang.

“Mereka tidak akan dipakaikan gelang namun masih tertakluk kepada HSO dan perlu mematuhi segala peraturan,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Dr Chong Chee Keong

Dalam pada itu Chee Keong berkata, kerajaan akan meningkatkan kapasiti katil hospital sedia ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor termasuk katil unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU.

“Buat masa ini, sebanyak 40 peratus pesakit dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius yang memerlukan sama ada bantuan oksigen dan alat pernafasan iaitu kategori tiga dan empat.

“Khasnya untuk kapasiti katil ICU, tambahan 30 katil melalui tiga modular ICU akan diterima tidak lama lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here