
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai semula strategi sedia ada bagi meningkatkan kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu adalah susulan beradaan jumlah katil untuk rawatan kes Covid-19 di sekitar Lembah Klang yang melepasi kapasiti.
Langkah itu menurut beliau perlu bagi menampung jumlah pesakit kategori empat dan lima yang semakin meningkat selain baki katil untuk pesakit kategori dua dan tiga yang kini hampir digunakan sepenuhnya.
“Sebanyak 5,198 katil yang disediakan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dan daripada jumlah itu, 154 katil dikhususkan untuk pesakit kategori empat.
“Jumlah katil telah melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Adham berkata, secara purata, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 kini menerima kira-kira 800 pesakit Covid-19 setiap hari yang mana 200 daripada jumlah itu adalah pesakit kategori empat.
Kata beliau, antara langkah yang sedang dan telah diambil adalah menambah katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital KKM dan hospital pengajar universiti.
“Sebanyak 20 unit katil ICU ditambah di Hospital Ampang dan lapan unit katil ICU serta 45 unit katil untuk Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia ditambah semalam (Rabu) bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital,” katanya.

Menurut Dr Adham, wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dilengkapkan dengan 60 katil dan peralatan tambahan dianggarkan berjumlah RM1.1 juta.
“Selain itu, hospital medan dengan kapasiti 50 katil akan ditubuhkan di HTAR dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 1,550 silinder oksigen juga ditambah bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengulangi amaran sistem kesihatan di beberapa negeri termasuk Lembah Klang akan lumpuh sekiranya kes harian positif Covid-19 masih merekodkan peningkatan yang tinggi secara berterusan.