Dr Noor Hisham Abdullah
CYBERJAYA – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini mengumumkan kelulusan penggunaan secara kecemasan produk vaksin Covid-19 Sinopharm dan Johnson & Johnson.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Mesyuarat PBKD Kali Ke-361 Berkenaan Pendaftaran Vaksin COVID-19 bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin Covid-19.
Katanya, kelulusan itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.
“KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).