KKM sambut baik tepung gandum diperkaya zat besi, asid folik

0
31

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik inisiatif pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan fortifikasi (diperkaya) zat besi dan asid folik tepung gandum di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, inisiatif oleh KPDNHEP itu sejajar dengan saranan KKM di mana inisiatif ini merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang berkesan dan menyeluruh untuk meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, KKM telah mengambil maklum bahawa semua pengilang tepung gandum yang terlibat telah melaksanakan inisiatif itu sejak 1 Julai 2021.

“Ini kerana kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah anemia dan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD).

“NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap (anencephaly), tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida).

“Masalah ini seterusnya meningkatkan kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan dan boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik ke dalam tepung gandum bersubsidi juga dilihat dapat membantu rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah mendapatkan akses makanan berkhasiat.

“Pelaksanaan fortifikasi tepung gandum oleh pihak KPNDHEP ini juga telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengilang tepung gandum dan diharapkan mendapat sokongan berterusan dalam usaha KKM melaksanakan fortifikasi zat besi dan asid folik ke atas semua tepung gandum dalam pasaran di Malaysia secara mandatori.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here