
CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 kepada kira-kira 13,400 kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang berdepan pelbagai cabaran tugas dalam situasi pandemik ketika ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau menyedari keperluan vaksinasi terutama dalam kalangan kakitangan syarikat telekomunikasi itu yang terlibat dalam tugasan di lapangan.
Beliau berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin selepas isu berkenaan dibangkitkan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mohktar.
“Saya terima surat untuk dapatkan vaksin kepada kakitangan TM daripada CEO TM dan saya telah panjangkan perkara itu kepada KJ.
“Saya percaya perkara ini dalam perhatian KJ kerana petugas TM ini juga dikira barisan hadapan (frontliners),” katanya dalam sidang media selepas Program Turun Padang Secara Maya Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama-sama Telekom Malaysia (TM) yang diadakan menerusi Zoom hari ini.

Sesi selama sejam bersama 39 kakitangan TM dari seluruh negara itu membincangkan pelbagai cabaran dihadapi kakitangan syarikat telekomunikasi negara itu dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.
Saifuddin berkata, beliau terharu dengan komitmen dan kesusahan yang dihadapi golongan itu terutama yang terlibat dalam kerja pemasangan, baik pulih, peluasan rangkaian dan melayan pelanggan.
Beliau turut dimaklumkan sejak penularan pandemik Covid-19, seramai 870 petugas TM telah dijangkiti wabak itu dengan 6 daripada mereka meninggal dunia.
“Sepanjang tempoh ini, merekalah yang menyediakan perkhidmatan Internet kepada rakyat, agensi kerajaan termasuk yang berkepentingan kritikal seperti kesihatan, keselamatan dan kecemasan.
“Ada masa mereka masuk ke rumah pelanggan untuk pemasangan tanpa mengetahui penghuni itu sedang menjalani kuarantin dan kemudian dijangkiti Covid-19.
“Ada juga kisah petugas yang terputus bekalan makanan semasa bertugas di puncak Gunung Ledang dan banyak lagi yang kita tidak ketahui berlaku di pedalaman,” katanya.
Menjawab soalan permohonan mempercepatkan vaksinasi melibatkan syarikat telekomunikasi lain atau tidak, Saifuddin berkata, setakat ini permohonan tersebut hanya melibatkan petugas TM selaku syarikat telekomunikasi utama negara.
“Saya faham semua agensi dan jabatan ada banyak yang memohon suntikan disegerakan. Saya juga harap KJ akan mempertimbangkan tindakan yang sama untuk petugas syarikat telekomunikasi yang lain,” katanya.