KKMM ulangi keutamaan vaksinasi pengamal media

0
48
Saifuddin Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mempertimbang untuk mengadakan sesi pemberian vaksin Covid-19 secara besar-besaran kepada petugas media di negara ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemberian vaksin kepada pengamal media yang juga merupakan petugas barisan hadapan sememangnya dalam perhatian kementerian dan akan disegerakan.

Katanya, beliau menyedari kelewatan vaksinasi dalam kalangan petugas media sejak perkara itu diumumkan lebih sebulan lalu.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu program suntikan vaksin secara beramai-ramai diadakan di Kompleks Penyiaran Jabatan Penyiaran Malaysia / Radio Televisyen Malaysia (RTM) (Angkasapuri) di Kuala Lumpur.

“Isu vaksin ini pun belum selesai, masih ramai petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang belum dapat vaksin sedangkan ramai antara mereka yang turun padang.

“Mungkin boleh diadakan dalam satu kumpulan yang besar melibatkan wartawan, jurufoto dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas Program Turun Padang Secara Maya Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama-sama Telekom Malaysia (TM) yang diadakan menerusi Zoom hari ini.

Sesi selama sejam bersama 39 kakitangan TM dari seluruh negara itu membincangkan pelbagai cabaran dihadapi kakitangan syarikat telekomunikasi negara itu dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan.

Saifuddin berkata, usaha untuk menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media telah disampaikan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Ditanya bila program itu akan dilaksanakan, beliau berkata, KKMM tidak mempunyai deadline (tempoh) yang khusus tetapi mengaku ia sedang diusahakan.

Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan keutamaan pemberian vaksin untuk petugas media sebagai perlindungan kepada golongan itu yang berdepan risiko jangkitan Covid-19 ketika membuat liputan sejak penularan pandemik itu.

Kumpulan media tempatan mula menerima suntikan vaksin pada minggu pertama bulan lalu namun aduan daripada persatuan pengamal media mendakwa masih ramai yang belum menerima tarikh temu janji untuk suntikan melalui MySejahtera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here