KM Pulau Pinang nafi pemindahan pesakit Covid-19

0
31
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN – Dakwaan dua buah bas yang membawa pesakit Covid-19 dari Kuala Lumpur dan Selangor ke negeri ini seperti yang tular di media sosial adalah palsu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan hari ini berkata, berita yang ditularkan itu sama sekali tidak benar dan hasil daripada pemeriksaan dengan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati pemindahan itu hanya melibatkan seorang pesakit sahaja.

“Saya menafikan berhubung berita yang diviralkan bahawa terdapat dua buah bas penuh muatan yang memindahkan pesakit-pesakit positif Covid-19 dari ibu negara ke negeri ini. Ia sama sekali tidak benar.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Datuk Dr Asmayani Khalib bahawa hanya seorang pesakit positif Covid-19 kritikal yang dipindahkan bagi mendapatkan rawatan di institusi perubatan di negeri ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pesakit itu kini dilaporkan stabil dan masih dalam pemerhatian lanjut.

Hari ini tular di media sosial satu hantaran yang ditulis dalam bahasa Inggeris “Sad news. Just received news that two busloads of Covid-19 patients had been imported to Penang from KL Selangor”.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi warganet yang menyifatkan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here