
CYBERJAYA – Hampir 50,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara menarik nafas lega apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan membuat pembayaran penuh kepada kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK).
Berikutan itu, soal pemotongan gaji pekerja KBK tidak sepatutnya timbul.
Kata KPM dalam satu kenyataan hari ini, pembayaran dibuat selaras dengan kontrak yang telah ditandatangani.
“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” kata KPM dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan permohonan Setiausaha Kerja Gabungan Persatuan Kontraktor KBK Malaysia, Daniel Iskandar Abdullah, supaya pembayaran kontrak semasa PKP 3.0 dibayar 100 peratus kepada semua kontraktor.
Pembayaran itu dijangkakan akan memberi manfaat kepada pekerja yang tergolong dalam golongan B40, dan 900 kontraktor pembersihan terbabit.