
KUALA LUMPUR – Kumpulan doktor kontrak di Hospital Kuala Lumpur(HKL) bertindak mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan kerajaan yang seolah-olah masih tidak mempedulikan permintaan mereka.
Kumpulan seramai kira-kira 50 orang itu mengadakan protes aman di kawasan parkir bertingkat HKL bagi menyatakan ketidak puasan hati mereka.
Menurut wakil kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Mohd., hari ini dipilih sebagai hari berhimpun kerana tarikhnya yang genap sebulan setelah mereka mengajukan permintaan kepada kerajaan.
“Kami hanya mahu menuntut hak.
“Hari ini genap sebulan kami suarakan permintaan kami supaya diberi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, sidang akhbar yang sedang berlangsung ditamatkan berikutan campur tangan pihak polis yang mengarahkan semua pihak segera bersurai.