Labuan negeri pertama capai imuniti kelompok

0
26
Gambar hiasan.

LABUAN – Wilayah Persekutuan ini menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencapai imuniti kelompok apabila mencapai vaksinasi penuh 80 peratus populasi dewasa.

Setakat ini, wilayah itu telah memberikan suntikan kepada 54,800 daripada keseluruhan jumlah 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan layak dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata, sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin.

“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.

“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).

“Jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari dan (terus meningkat) hari ini,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan seorang individu menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, bagi melengkapkan imunisasi terhadap 54,800 orang, di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan di sini.

PICK Labuan dilancarkan pada 27 Februari lalu oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di Labuan menerima dos pertama vaksin.

Secara keseluruhannya, program vaksinasi di Labuan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kes dan kemunculan varian Delta.

Setakat semalam, Labuan merekodkan jumlah kumulatif 9,607 kes COVID-19 dan 146 kematian akibat wabak itu. Lapan kes dicatat semalam namun tiada kematian dilaporkan.

CITF Labuan merekodkan 95.7 peratus atau 65,521 daripada 68,500 populasi dewasa menerima suntikan dos pertama vaksin setakat semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here