
CYBERJAYA– Ahli politik terutamanya di Johor harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan.
Nasihat berkenaan dizahirkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya semalam.
Tunku Ismail bertitah, perbezaan politik perlu diketepikan dan lakukan gencatan politik buat sementara ini selain berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat.
“Saya ingin memberi pandangan dan nasihat yang ikhlas kepada semua ahli politik di Johor ataupun mana-mana. Anda harus memberikan keutamaan kepada krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Sekarang bukan masa untuk berpolitik.
“Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara. Tolonglah berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini.
“Ketepika segala perbezaan politik, lakukan gencatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada Rakyat. Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu Rakyat,” titah baginda.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh dilaporkan berkata, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Persekutuan.
Jika situasi tersebut berlaku, kerajaan PN Johor dijangka tumbang kerana ketika ini, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.