Langgar SOP solat Aidiladha: Warga asing terlibat boleh diusir keluar dari Malaysia

0
591
Gambar tular ratusan warga asing solat sunat Aidiladha melebihi kapasiti dibenarkan di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang

CYBERJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia juga sudah diarahkan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ianya membabitkan penglibatan warga asing.

“Berikutan video yang telah ditularkan berkenaan pelanggaran SOP solat Hari Raya Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pagi tadi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah telah pun memulakan siasatan lanjut secara terperinci.

“Selain itu, Ketua Polis Pulau Pinang juga diminta untuk memberikan laporan serta penjelasan terperinci dengan segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu video berdurasi 22 saat yang dirakam oleh seorang individu yang menunjukkan ratusan warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha melebihi had ditetapkan.

Susulan itu, Ketua Polis Pulau Pinang
memohon maaf di atas kegagalan mengesan lebih awal kehadiran ratusan warga asing yang melanggar SOP itu.

Sementara itu, Hamzah turut menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidakteraman awam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here