Lebih 50 terbunuh dalam kebakaran wad Covid-19

0
219
Kebakaran yang dipercayai tercetus akibat letupan tangki oksigen di wad Covid-19.

NASSIRIYA – Lebih daripada 50 orang disahkan maut dalam kebakaran di wad rawatan pesakit Covid-19 di Hospital Al-Hussein, Selatan Iraq, semalam.

Jurucakap pihak berkuasa kesihatan tempatan, Haydar al-Zamilin berkata, sebanyak 52 mayat berjaya ditemui manakala 22 orang lagi cedera dalam kejadian itu.

Menurut laporan awal polis, kebakaran dipercayai berpunca akibat letupan tangki oksigen di salah sebuah wad pesakit Covid-19.

Memetik laporan Reuters, pengawal keselamatan hospital, Ali Muhsin berkata, kebakaran berlaku sejurus selepas dia mendengar letupan kuat di wad Covid-19.

Sebahagian besar daripada mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas dalam kepulan asap tebal yang menyebabkan anggota penyelamat sukar untuk memadamkan kebakaran.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengumumkan mesyuarat tergempar bersama menteri-menteri kanan dan mengarahkan penahanan pihak pengurusan yang sepatutnya bertanggungjawab atas tragedi itu.

Perkembangan Covid-19 di Iraq kini menyaksikan sistem kesihatan negara itu semakin kritikal dengan jumlah kematian kini mencecah 17,592 orang dengan 1.4 juta kes.

Pada April lalu, kebakaran yang juga berpunca daripada letupan tangki oksigen di sebuah hospital di Baghdad mengorbankan 82 nyawa dan mencederakan 110 yang lain.

Keadaan di dalam salah satu wad Covid-19 Hospital di Nassiriya yang terbakar semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here