
CYBERJAYA – Anak muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan ketika ini perlu memikirkan strategi terbaik termasuk memberi fokus kepada perniagaan dalam talian.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor berkata, buat masa ini perniagaan secara dalam talian adalah yang terbaik berbanding kedai fizikal.
“Kita perlu fokus kepada ‘online’, kami di Kumpulan Malakat juga telah menubuhkan platform Malakat.com yang mainkan peranan sama seperti Shopee dan Lazada.
“Jadi, boleh gunakan platform ini untuk jual dan promosi barangan. Masyarakat juga perlu mainkan peranan untuk memajukan perniagaan peniaga-peniaga tempatan ini.
“Bila ada bantuan, rakyat boleh berbelanja. Namun jika berbelanja di syarikat ‘international’ sahaja proses pembangunan semula ekonomi kita akan menjadi lambat.
“Sebagai contoh membeli di grocer, orang ramai boleh beli di Mydin, Malakat Mall. Beli di kedai orang kita, barulah kita boleh lihat ianya berkisar antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel program bual bicara Halatuju Berniaga Dalam Norma Baharu anjuran Armada Bersatu Malaysia malam tadi.
Menjawap soalan adakah sesuai golongan muda menggunakan wang moratorium untuk menjalankan perniagaan, Adzhar berkata, ia bergantung kepada jenis perniagaan.
“Bergantung kepada jenis perniagaan yang hendak dijalankan. Jika boleh buat secara dalam talian, ada ‘dropship’ baik teruskan namun, kalau kena buka kedai lebik baik ‘hold’ dahulu.
“Jika nak start ‘something new’ kena tunggu, jika perlukan modal sedikit sahaja dan guna platform atas talian boleh teruskan, dapat sumber pendapatan untuk teruskan kehidupan,” katanya.
Selain itu, Adzhar turut menyarankan agar mereka yang mula berjinak dalam dunia perniagaan agar bergerak secara dalam kumpulan dan berbincang bagi wujudkan idea baharu.
“Saya sarankan bergerak dalam kumpulan, kita tidak boleh berniaga sorang-sorang. Maaf cakap, orang kita banyak berniaga ‘aku berjaya sorang-sorang, kau-kau’.
“Perkara ini perlu diubah, kita sepatutnya bekerjasama dan sokong satu sama lain bagi mendepani pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan termasuk ketika pandemik ini,” katanya.
Dalam perkembangan, Adzhar turut mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah proaktif bagi membantu menaikkan kembali sektor ekonomi peniaga-peniaga yang terjejas.
“Kalau boleh, kerajaan buat sekatan hanya melibatkan daerah yang kes tinggi sahaja. Sebagai contoh, jika Klang tinggi, tutup daerah itu sahaja.
“Kalau kita boleh buat, Insya-Allah kita boleh kawal pergerakan dan dalam masa yang sama dapat membantu peniaga. Kita kawal sebaik mungkin,” katanya.