Lebih separuh kes Covid-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya babitkan ahli keluarga

0
73
Penduduk Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras menunggu giliran diluar dewan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan. -foto/FaridJanudin

CYBERJAYA – Sebanyak 54 peratus kes Covid-19 yang dikesan di Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam adalah melibatkan kontak rapat yang tinggal serumah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, faktor itu merupakan penyumbang kepada kes yang tinggi di wilayah itu.

“Penularan kes melalui kontak rapat dan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada varian membimbangkan (VOC).

“Majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.

“Terdapat jangkitan daripada kontak rapat di tempat kerja seperti di pejabat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, satu pertiga kes atau 28.5 peratus adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan tetapi berkemungkinan besar adalah daripada komuniti.

“CCMC-WP akan memantau situasi ini serta akan melakukan langkah tertentu, terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak sesuai diteruskan,” katanya.

Annuar berkata, kes susulan saringan yang dibuat di kawasan PKPD bersasar adalah 13 peratus daripada jumlah kes keseluruhan manakala jumlah kes juga menurun daripada 294 kes kelmarin kepada 205 kes, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, kes di tapak binaan hanya tiga kes iaitu kurang daripada 0.5 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebahagian besar kes, 88 peratus adalah dalam kalangan warganegara dan tidak disumbangkan oleh industri pembinaan atau perkilangan yang hanya mencatat kurang daripada 0.5 peratus,” katanya.

Kata Annuar, secara keseluruhannya, situasi di wilayah itu adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai, dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi.

“Kementerian akan terus memperhebatkan program vaksinasi secara besar-besaran agar wilayah dapat mencapai imuniti kelompok seawal mungkin.

“Ia juga ke arah melaksanakan strategi baharu pasca 80 peratus vaksinasi dengan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi boleh dibuka.

“Perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, komuniti perniagaan, perwakilan penduduk dan pemegang taruh yang lain sedang giat dilaksanakan bagi tujuan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here