Lelaki provokasi polis berdepan lima pertuduhan, akan direman pagi ini

0
3124
Lelaki berkenaan ditahan pada pukul 10 malam tadi dirumahnya di Bandar Sri Damansara.

CYBERJAYA – Lelaki yang ditahan kerana melakukan provokasi dan memaki hamun Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam akan disiasat mengikut lima pertuduhan.

Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 188, 504, 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, permohonan reman terhdap lelaki berkenaan akan dibuat pagi ini Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Terdahulu, suspek yang berumur 29 tahun itu sudah diberkas di kediamannya di apartmen di Bandar Sri Damansara, dekat sini kira-kira pukul 10 malam.

“Semasa proses tangkapan hendak dibuat, sekali lagi suspek membuat rakaman video dan memuat naik di laman sosial yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fakhrudin, sebelum itu, pihak polis telah mengeluarkan kompaun RM1,500 semalam kerana suspek tidak memakai pelitup muka semasa berada di sebuah stesen minyak tidak jauh dari kediamannya di Sri Damansara.

“Suspek juga telah melakukan provokasi dengan mempertikaikan tugas pihak polis dan membuat video secara langsung melalui akaun ‘alyf malik’ berkenaan segala tindakan pihak polis ketika itu.

“Setelah selesai dikompaun juga, suspek masih meneruskan video secara langsung dengan mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis,” ujarnya.

Semalam, tular klip video berdurasi 15 minit 42 saat di laman sosial memaparkan seorang lelaki memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak berkuasa selepas disaman polis kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here