Macau Scam : Pegawai Maritim lesap RM370,000

0
234
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia berputih mata apabila wang simpanan dan wang pinjaman peribadinya sebanyak RM370,000 lesap diperdaya sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian pada bulan lalu itu, pegawai berusia 33 tahun itu dikatakan telah dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berkenaan mendakwa syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Panggilan tersebut telah disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya pegawai polis bernama Inspektor Azman yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Suspek telah mengarahkan mangsa supaya memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayah yang dihadapinya tanpa perlu melakukan tangkapan.

“Mangsa bersetuju dan memasukkan wang simpanannya berjumlah RM120,000 ke dalam akaun yang diberikan bermula pada 17 hingga 21 Jun lalu.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuat pinjaman wang sebanyak RM250,000 selepas wang simpanannya sudah habis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas itu, katanya, mangsa memuat turun aplikasi myBNM dan mengisi segala butiran bank dalam aplikasi tersebut seperti yang diminta suspek.

“Pada 30 Jun lalu, mangsa mendapati duit pinjaman yang masuk ke akaun banknya sudah tiada. Semakan transaksi mendapati wang terbabit telah dipindahkan beberapa akaun bank yang lain.

“Pada Selasa, mangsa telah terima panggilan daripada sebuah bank yang memaklumkan terdapat transaksi mencurigakan terhadap akaun bank miliknya dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang Selasa.

Tambah beliau, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menyamar sebagai anggota Pegawai LHDN dan polis serta mendorong mangsa membayar wang untuk mengelakkan daripada ditangkap.

“Kita nasihat orang ramai agar menghubungi polis jika ada panggilan meragukan bagi mengelak kes penipuan seperti ini,” tegas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here