
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan wajar meletakkan jawatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri jelas mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen, seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.
Ahmad Zahid berkata, Takiyuddin pula juga mesti meletak jawatan kerana menderhaka titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.
“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat.
“Lebih mendukacitakan apabila Seri Paduka Baginda sendiri mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Takiyuddin pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan baginda.
“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan