
SEREMBAN – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Jabatan Wakaf menyalurkan sumbangan peralatan perubatan berjumlah RM116,250 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS)
Agihan peralatan itu melibatkan 15 unit mesin Oxygen Contentrator, Oxygen Regulator (40 unit) dan 5 unit Patient Transport Trolley.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu melancarkan tugas kakitangan kesihatan dalam merawat pesakit-pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan.
Katanya, aset peralatan perubatan itu akan diagihkan kepada empat buah hospital iaitu Hospital Tuanku Jaafar Seremban; Hospital Tampin, Hospital Jelebu dan Hospital Jempol.
“Sumbangan peralatan perubatan pada kali ini menggunakan dana Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (WMAINS) dan dana Wakaf Negeri Sembilan Muamalat (WNSM).
“Penyerahan ini merupakan simbolik bahawa wakaf yang diterima oleh pihak MAINS disalurkan sebaiknya kepada pihak yang memerlukan.
“Inisiatif ini juga diharap dapat menjadi titik permulaan bagi semua golongan dan lapisan masyarakat khususnya di Negeri Sembilan untuk turut sama mengimarahkan serta membudayakan amalan berwakaf, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, sumbangan ini juga menjadi bukti bahawa institusi wakaf memainkan peranan penting bagi menjana ekonomi ummah dalam pelbagai bidang berlandaskan syariah Islam.
“Ia turut diserahkan juga kepada tiga Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19 iaitu PKRC Politeknik Port Dickson, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Kuala Pilah dan PKRC Dewan Komuniti Mantin,” jelasnya.