Malakat Eco bakal lancar platform pelaburan kepada orang ramai

0
508

CYBERJAYA – Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim akan melancarkan satu platform perkongsian dana bagi membolehkan rakyat negara ini ‘membeli’ aset-aset strategik secara bersama.

Melalui platform dana peribadi itu katanya, pelabur menjadi pemilik bersama berpeluang memiliki aset yang dibeli secara tunai tanpa bergantung kepada pihak bank.

Mohd. Fadzil berkata, aset-aset yang menjadi sasaran tidak semestinya sehebat atau se-gah ‘Hotel Istana’ yang mengumumkan penutupan operasinya hari ini, tetapi lebih kepada aset-aset yang strategik seperti tanah, kilang, gudang atau perniagaan.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk kita mulakan dana peribadi kita, kita gunakan model private untuk membolehkan penglibatan awam daripada penyokong-penyokong kita.

“Saya akan cuba berusaha untuk meminimumkan jumlah pelaburan serendah RM1,000 supaya dapat disertai oleh lebih ramai orang.

“Doakan supaya kami dapat bina satu platform dalam masa sebulan ini insya-Allah. Kami sedang dalam peringkat mengenal pasti aset-aset yang strategik untuk kita beli secara bersama,” katanya dalam sesi Live Facebooknya petang ini.

Mohd. Fadzil Hashim

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, langkah itu bertepatan dengan pasaran hartanah yang rendah pada masa kini sekaligus memberi peluang kepada banyak penjimatan.

“Sekarang ini ada berlambak-lambak, beribu aset yang sedia untuk dijual dengan harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran.

“Minimum 30 peratus itu senang-senang boleh dapat tapi sebaiknya kita cari yang harga 40 peratus di bawah nilai pasaran.

“Kelebihannya apabila kita beli aset bersama kita sudah tidak terikat dengan bank, kalau market tutup pun kita rilek lagi.. itulah kelebihan ekonomi Islam yang orang tak faham,” katanya.

Keadaan ekonomi semasa yang terjejas akibat penularan Covid-19 memberi peluang pelaburan aset yang bernilai tinggi. Gambar hiasan.

Katanya, bentuk pelaburan yang berisiko rendah seperti itu sekiranya berjaya direalisasikan akan memberikan gandaan keuntungan yang cukup baik.

Namun jelas beliau, pelaburan dalam dana secara berjemaah itu bukan untuk individu yang ingin melihat keuntungan segera dalam jangka masa singkat.

“Ini adalah pelaburan yang kurang risiko. Kita tidak akan menjadi kaya terus esok, tapi peluang yang ada sekarang membolehkan kita memiliki aset-aset besar dan strategik bersam-sama untuk memperoleh keuntungan pada masa akan datang, tanpa komitmen dengan riba,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Fadzil memberikan contoh keuntungan daripada nilai RM1,000 dalam pelaburan permulaan RM150,000 ketika beliau memulakan tadika Brainy Bunch.

“Katakan pak cik saya pinjamkan saya RM1,000 masa saya mula-mula buka Brainy Bunch. Sekarang selepas 10 tahun, nilai sekolah ini sudah RM1 bilion. Jadi nilai pelaburan pak cik saya sekarang dianggarkan berjumlah RM6.6 juta,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, konsep pelaburan seperti itu bagaimanapun bukan sesuatu yang baharu kerana sudah banyak dilaksanakan namun tidak dilakukan oleh syarikat yang mempunyai jiwa dan perjuangan demi agama dan bangsa.

“Kita perlu seseorang yang mempunyai jiwa untuk agama dan bangsa. Jika tidak ia akan jadi pelaburan yang berjaya atas nama korporat sahaja. Cukup setakat bagi dividen tapi tiada agenda dan perjuangan.

“Insya-Allah ayuh kita usahakan, solusi ada di tangan anda, buka hati buka minda dan banyak ruang dan peluang yang kita boleh kongsikan bersama,” katanya.

Aset-aset yang strategik mampu memberikan pulangan pelaburan yang menguntungkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here