
CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menolak laporan agensi berita Bloomberg yang mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal.
Beliau berkata, dakwaan oleh agensi berita antarabangsa itu dibuat secara keterlaluan tanpa asas yang kukuh kerana Malaysia masih berdiri sebagai sebuah negara yang diurus denga baik.
“Laporan Bloomberg mengatakan Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara yang gagal. Jika sesebuah negara itu gagal maka akan ada rakyatnya yang kebuluran dan sebagainya.
“Antara negara yang gagal sebelum ini adalah seperti Somalia, Sudan, Myanmar dan beberapa negara lain di Amerika Latin.
“Kita sudah lakukan yang terbaik dan institusi kita bergerak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergerak, pegawai kerajaan semua bekerja seperti biasa dan semuanya berfungsi.
“Kalau kerajaan kita gagal, maknanya kita lumpuh tapi sekarang negara kita masih ditadbir seperti biasa,” katanya kepada pemberita semalam.
Dalam laporan kelmarin, Bloomberg mengandaikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang sedang menuju kegagalan berdasarkan kedudukan tercorot dalam senari kemajuan 53 negara selepas ‘pembukaan semula’ ekonomi dalam krisis Covid-19.
Tegas Mustapa lagi, laporan berkenaan tidak benar kerana semua institusi sama ada kerajaan atau swasta masih berfungsi.
Bagaimanapun katanya, kerajaan mengambil sikap terbuka terhadap laporan serta pandangan penulis mengenai perkara itu.
Ujar beliau, kerajaan tidak sempurna namun akan terus berusaha dan berbincang supaya krisis ekonomi dan kesihatan dapat diselesaikan dengan segera.