
CYBERJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia merekodkan kadar pemberian vaksin tertinggi semalam dengan 507,050 dos.
Muhyiddin berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif individu yang menerima dos pertama setakat ini ialah seramai 10,920,860 dan 5,104,054 menerima dua dos.
Katanya, sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari.
“Alhamdulillah semalam, kita berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu 507,050 dos.
“Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8 peratus pula mendapat dos yang penuh,” katanya di Facebooknya hari ini.
Menurut Mahyuddin, pencapaian itu selari dengan sasaran yang ditetapkan namun perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksin lengkap berjaya dicapai.
“Menerusi vaksinasi, ia dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan jangkitan teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap PICK, terutama kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan pusat pemberian vaksin (PPV) yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini,” katanya.