
CYBERJAYA- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan 680 kilogram daging kerbau sejuk beku yang telah dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang.
Maqis dalam satu kenyataannya memaklumkan, daging kerbau sejuk beku itu diserahkan semalam untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di penjara berkenaan.
“Penyerahan tersebut membabitkan 34 karton daging kerbau sejuk beku dari India dengan nilai anggaran RM11,710.37 yang didapati tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Klang Barat.
“Produk membabitkan hasil rampasan sejak April lepas adalah untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara yang dibuat oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.
“Kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Maqis, inisiatif berkenaan diharap dapat membantu pihak berkenaan dari segi menyediakan bekalan sumber makanan kepada haiwan ternakan.
“Maqis sentiasa prihatin dalam membantu agensi yang memerlukan serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi.
“Dalam masa sama terus memastikan isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal,” katanya.