Maritim Malaysia rampas 4 kilogram syabu

0
71
Nurul Hizam Zakaria (kiri) menunjukkan syabu yang berjaya dirampas dalam operasi di perairan Tanjung Pelepas.

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira empat kilogram (kg) di perairan Pulau Merambong pada awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, rampasan dibuat ketika bot ronda Maritim sedang melaksanakan rondaan Op Jaksa di perairan Tanjung Pelepas.

Beliau berkata, dalam rondaan itu pihaknya telah mengesan sebuah bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 0.4 batu nautika barat daya Pulau Merambong sekitar jam 3 pagi.

“Sebaik sahaja menyedari bot ronda Maritim Malaysia, suspek bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek dan melarikan diri ke arah paya bakau berhampiran.

“Bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan suspek itu menggunakan enjin sangkut jenama 15 kuasa kuda.

“Hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan plastik berisi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu yang disorok dalam sebuah tong minyak dengan setiap satu bungkusan itu dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Bot kayu yang digunakan oleh suspek.

Nurul Hizam berkata, bot kayu berserta enjin telah telah ditunda ke Jeti Maritim Sungai Pulai.

“Empat bungkusan dadah itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih kurang RM215,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline 07- 219 9404 yang beroperasi atau talian kecemasan MERS 999,” jelasnya.

Ketulan berisi syabu yang dirampas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here