
KUALA LUMPUR – Masa persidangan Dewan Rakyat tidak akan dilanjutkan selepas tamat pada pukul 5.30 petang seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin berkata, perkara berkenaan diputuskan berdasarkan pandangan pakar, bukannya pandangan politik.
“Pada hari pertama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah panggil mesyuarat khas yang melibatkan wakil pembangkan dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan telah diberi dua cadangan.
“Pertama, persidangan ini tidak boleh diteruskan kerana dalam kes biasa, jika 77 orang sudah dijangkiti di sesuatu tempat, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan.
“Pilihan kedua, adalah had bilangan ahli Parlimen pada satu-satu masa atau hadkan masa. Ahli-ahli parlimen (pembangkang) sepatutnya memberitahu semula kepada Speaker untuk persetujuan tentang sampai pukul berapa (Parlimen Bersidang). Tetapi sehingga hari ke empat ini tiada yang datang.
“Jadi, saya sendiri telah bertemu Speaker pada esoknya. Saya telah dapat mandat daripada Ketua Majlis, jadi saya tidak akan benarkan lanjutan persidangan ini dari 5.30 atau 5.45 petang,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.
Isu penambahan tempoh hari atau masa persidangan sebelum itu dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon pertimbangan Speaker dan Menteri Undang-Undang agar lebih ramai ahli Parlimen dapat mengambil bahagian dalam perbincangan.