Masjid dan surau di Terengganu dibuka ikut kapasiti, tiada lagi had jemaah ditetapkan

0
44
Masjid Abidin di Terengganu

KUALA TERENGGANU- Tiada lagi had bilangan jemaah ditetapkan di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu.

Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), ketetapan berkenaan  bermula sejak semalam.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, keputusan itu selaras dengan situasi semasa Covid-19 di negeri itu yang kini menjalani fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Osman berkata, keputusan itu diperkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas mendapatkan pandangan mufti, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pengarah Kesihatan negeri.

“Bilangan jemaah mestilah mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Kehadiran hanya dibenarkan kepada ahli kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, imam masjid juga dikehendaki membaca Qunut Nazilah ketika solat Jumaat dan mengadakan solat sunat hajat setiap kali selepas solat Jumaat.

Osman berkata, semua masjid dan surau juga dikehendaki menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin setiap malam selepas solat Maghrib dan berdoa memohon Allah mengangkat wabak Covid-19.

“Semua imam dikehendaki membaca teks doa Qunut Nazilah dalam solat Jumaat dan berdoa mohon dijauhi wabak penyakit yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu selepas setiap kali solat hajat dan bacaan surah Yasin,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, aktiviti lain di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran Maidam. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here