Mayat nelayan jatuh laut ditemukan di muara Sungai Langat

0
50
Mayat mangsa dinaikkan ke jeti Nelayan Kanchong Luat untuk pengecaman.

PELABUHAN KLANG – Mayat seorang lelaki yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut pada Jumaat lalu berjaya ditemui pada kedudukan 1.7 batu nautika barat daya muara Sungai Langat, semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Thineswaran a/l Kesavan, 27, dari Banting, Selangor ditemui pada pukul 12.50 tengah hari semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang merupakan seorang nelayan ditemui dalam keadaan terapung selepas pasukan Maritim Selangor yang sedang dalam operasi mencari ditugas ke tempat kejadian.

“Mangsa dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan menggunakan bot bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai.

“Mayat dibawa ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Katanya, operasi mencari yang diselaras Maritim Malaysia pada hari keempat meliputi keluasan 106 batu nautika persegi menggunakan tujuh bot dan dua pesawat udara dari pelbagai agensi iaitu Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan.

Sehubungan itu kata Norihan, operasi mencari ditamatkan pada pukul 3.30 petang semalam.

Sementara itu, orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca.

Sebarang kecemasan di perairan Selangor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (03-31760627) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here