Mayat pemandu lori arang batu jatuh laut ditemukan

0
77
Mayat mangsa ditemui kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian.

PORT DICKSON – Selepas hampir 30 jam operasi mencari, jasad pemandu lori lori arang batu yang terperangkap dalam kenderaannya yang terjunam ke laut, akhirnya ditemui.

Mayat Sharul Nizwan Said, 33 tahun, ditemui kira-kira 1.4 batu nautika dari muara Sungai Sepang kira-kira 4 petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan hilang selepas kenderaan yang dipandunya secara mengundur terjatuh ke dalam laut di jeti arang batu dekat Jimah Power Plant Port Dickson.

Mangsa bersama empat lagi rakannya ketika itu sedang melakukan kerja-kerja pembersihan batu arang untuk penyimpanan di jeti berkenaan.

Ketua Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Ahmad Tarmizi berkata, mayat mangsa ditemui selepas operasi pencarian dilakukan dalam lingkungan 2 kilometer dari lokasi kejadian.

“Semalam kita dah buat operasi mencari dan menyelamat (SAR) tetapi belum jumpa dan hari ini kita teruskan operasi seawal 8 pagi tadi dengan beberapa strategi antaranya memecahkan kumpulan pencarian di dasar laut dan permukaan air yang dilakukan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Mohd Hafzi, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan operasi pencarian ditamatkan pada pada jam 5.15 petang tadi.

Operasi SAR yang memasuki hari kedua semalam melibatkan lebih 60 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua anjing pengesan bomba.

Mohd Hafiz berkata, lori seberat tiga tan dipandu mangsa telah dinaikkan selepas operasi berdepan kesukaran kerana arus deras di dasar laut.

Operasi mencari mangsa yang bermula kelmarin ditamatkan semalam, selepas mangsa dan kenderaan kemalangan berjaya dinaikkan dari laut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here