
CYBERJAYA – Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sekumpulan individu yang menghadiri kursus dipercayai berlaku di sebuah hotel Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, siasatan itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berhubung pelanggaran SOP itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati program berkenaan didapati berlangsung pada April lalu yang mana negara sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Satu laporan polis mengenai pelanggaran SOP itu kita terima hari ini dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP).
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya dalam kadar segera untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 1 minit dan 34 saat yang memaparkan sekumpulan individu itu menari dalam sebuah dewan tanpa memakai pelitup muka serta tiada penjarakan sosial tular di Facebook.
Turut kelihatan beberapa individu memakai baju lambang sebuah parti politik.
Sementara itu, Baharudin berkata, menerusi laporan itu pengadu mendakwa kumpulan berkenaan dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup serta tiada penjarakan sosial antara satu sama lain dan ia adalah satu pelanggaran SOP sebagaimana yang ditetapkan.