
GEORGETOWN – Polis mengesahkan menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, dekat sini, bulan lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, arahan itu akan disampaikan kepada pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.
“Maklumat lanjut akan diberikan selepas arahan terbabit dipanjangkan kepada Menteri Besar.
“Kenyataan rasmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dikeluarkan selepas proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Terdahulu, beberapa portal melaporkan bahawa polis sudah menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi atas kesalahan melanggar SOP dengan memandu uji kenderaan jenis pacuan empat roda ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Bagaimanapun, jumlah kompaun yang dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu tidak didedahkan.
Sebelum ini, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang dan polis masih menunggu arahan daripada PPN untuk tindakan selanjutnya.