
CYBERJAYA – Kerajaan akan menasihati Yang Dipertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ke 3 Parlimen Ke 14 diadakan bermula 26 hingga 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, mesyuarat itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semula perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan dilakukan secara hibrid.
“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong akan dibentangkan di depan kedua-dua Majlis Parlimen,” kata kenyataan itu hari ini.
JPM berkata, mesyuarat akan diadakan dengan mematuhi Procedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“Bagi tujuan ini, nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada mereka,” menurut kenyataan itu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Jun lalu mengulangi titahnya supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.
Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.