
KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew menegaskan segala perbelanjaan yang dibuatnya ketika melakukan misi kemanusiaan di Gaza, Palestin baru-baru ini adalah menggunakan wang koceknya sendiri.
Ebit berkata, ketika mahu melaksanakan misi tersebut juga, beliau langsung tidak membuka mana-mana tabung untuk orang ramai menderma.
“Saya nak hentikan semua tuduhan ini apabila saya tengok dia tak masih tak berhenti (tuduh), saya pergi dengan duit sendiri dan tak buka satu tabung pun untuk Gaza.
“Itu memang niat saya,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Terdahulu beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini untuk membuat laporan polis berhubung beberapa tuduhan yang dibuat terhadapnya.
Ebit yang tiba pada pukul 6.15 petang tadi dengan kenderaan Alphard berwarna putih turut diiringi dengan dua buah kenderaan lain.
Mengulas lanjut, Ebit berkata, buat masa sekarang beliau enggan mengulas lanjut segala tohmahan yang dilemparkan sehingga segala siasatan dan percakapan dirakam polis.
Bagaimanapun, katanya, selepas segala keterangan diberikan, esok beliau akan membuat satu penjelasan terhadap semua tuduhan dibuat.
“Mungkin esok saya akan terangkan, paling sedih ayah saya yang telah meninggal dunia, saya sangat sedih. Saya bukan orang yang suka nak bergaduh, kalau saya jawab akan ada jawapan balas dan ia tak akan habis
“Saya akan jawab esok secara jelas, semua tuduhan ini, Wallahi ia tak benar dan fitnah semata-mata dan saya boleh keluarkan bukti. Sepatutnya orang yang tuduh keluarkan bukti tetapi tak apalah saya akan keluarkan bukti,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk membuat saman malu berhubung isu tersebut terhadap semua pihak yang terlibat.
Sementara itu ditanya nama yang dimasukkan dalam laporan polis itu, katanya, nama yang disenaraikan ialah Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Caprice dan beberapa akaun media sosial yang mengulang siar tohmahan itu.

“Kalau tentang saya saja saya ok tapi ini melibatkan anak-anak dan isteri termasuk ahli keluarga team saya yang lain yang menangis macam saya buat kes besar.

“Kalau boleh saya tak nak balas, tapi saya datang ke balai polis hari ini sebab saya sangat sedih dan kecewa. Saya nak nafikan tuduhan ini dan dakwaan terhadap saya adalah fitnah dan tidak berasas,” tegasnya.-MT