
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan media Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi tidak menggambarkan keputusan sebenar mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Annuar berkata, beliau dihubungi oleh beberapa orang ahli MKT yang menyatakan kenyataan dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal.
“Tinjauan lanjut menyatakan apa yg dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MKT bermesyuarat. Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan dan ini amat serius.
“Pagi ini, apabila saya menjenguk kumpulan WhatsApp Ketua-ketua Umno Bahagian (KUB), ramai yg mengeluh dan kekeliruan berhubung kenyataan Presiden UMNO,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Annuar berkata, ada di antara ahli KUB yang bersetuju bahawa kenyataan Presiden UMNO tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT.
“Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali? Lain di bincang, lain pula di rumuskan,” katanya.
Annuar juga mendakwa diberitahu bahawa 25 orang ahli MKT bersuara dalam suasana yang tenang dan jujur dalam memberi pendapat dalam mesyuarat itu.
“Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada consensus yang ketara. Tiada undian dibuat. Malah perbincangan tidak berkisar sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan PN, seperti yang dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dipohon dari pertemuan secara berasingan dgn ahli MKT.
“Dalam kata lain, Presiden UMNO wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yang benar..Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” katanya.